Sebastian (tengah) ditemani Sherene (lima kiri), Stephen (belakang Sherene) bersama pelajar SMV Miri mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak semasa perasmian Merdekaton di Bukit Kanada pagi tadi.
BUKIT KANADA, 31 Ogos — Usaha mentransformasikan Sekolah Menengah Vokasional Miri (SMV Miri) sebagai Kolej Vokasional mulai tahun hadapan akan membantu meningkatkan tenaga kerja mahir di Miri seterusnya menampung keperluan tenaga kerja mahir untuk Sarawak.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, Kolej Vokasional akan menjadi pusat kecemerlangan pendidikan vokasional dan kemahiran yang menjadi tumpuan kepada ibu bapa untuk melanjutkan pengajian anak-anak mereka.
“Cabaran yang perlu diatasi dan dicapai bukan sahaja melibatkan warga sekolah malahan melibatkan hubungan luar sekolah dengan industri dan agensi-agensi luar,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Dato’ Sebastian Ting.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Merdekaton dan Merentas Desa anjuran SMV Miri di Bukit Kanada pagi tadi.
Chin yang juga Parlimen Miri berkata berkata, ibu bapa mempunyai harapan tinggi terhadap anak-anak mereka melihat kepada pencapaian akademik mereka.
Konsep Satu Murid Satu Sukan melatih pelajar menghargai masa yang terluang dengan mengaktifkan diri dengan aktiviti kokurikulum.
‘Penglibatan mereka dengan aktiviti kokurikulum mampu menghalang mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara yang tidak sihat dan tidak berfaedah. Sebagai ibu bapa, kita sepatutnya mampu dijadikan suri teladan oleh anak-anak ke arah pembentukan modal insan yang mulia dan cemerlang dalam hidup,’ jelasnya.
Mengulas tentang aktiviti itu, Chin berharap ianya akan memupuk semangat cintakan negara di kalangan warga sekolah SMV Miri.
“Diharapkan dengan adanya kutipan dana sebegini akan membantu sekolah mengadakan aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar khususnya ke arah kecemerlangan akademik dan kebajikan pelajar,” ujarnya lanjut.
Dalam pada itu, Ting turut mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (mrp) dari Chin yang juga merupakan Ahli Parlimen Miri sebanyak RM5 ribu untuk sekolah berkenaan.
Seramai lebih 450 peserta terdiri dari pelajar, guru dan ibu bapa terlibat dalam larian berkenaan.
Hadir sama ialah Pengetua, Sherene Choo Siak Lian dan Yang DiPertua PIBG SMV Miri, Stephen Sati Laing.
No comments:
Post a Comment